@ Metro Ahad
SEBUT saja nama Stacy, pasti terbayang aksi lincah juara Akademi Fantasia musim keenam (AF6) tatkala beraksi di atas pentas. Masakan tidak, kebolehan menari di samping vokal mantap dan bertenaga sering saja menggamit perhatian penonton.
Bagaimanapun jika tidak berada di laluan yang betul mungkin kerjaya seninya akan berkubur begitu saja. Melihat bakat yang dimiliki, pasti sayang jika dunia seni kehilangan penyanyi memiliki bakat besar sepertinya.
Itulah juga yang dirasakan oleh penyanyi kelahiran Sabah ini. Selepas Maestro Talent and Management ditutup, Stacy cukup risau memikirkan hala tujunya. Bagaimanapun, di tengah kebimbangan itu, Astro Entertainment Sdn Bhd (AESB) sedia menyambung kontraknya.
“Sepanjang tiga bulan berada di bawah AESB, perjalanan seni saya semakin lancar. Malah, saya cukup berterima kasih kepada mereka kerana mereka mempunyai perancangan untuk saya.
“Malah, saya cukup gembira berada di bawah naungan baru ini. Meskipun pekerja AESB tidak ramai, tetapi mutu kerja mereka meyakinkan.
“Mungkin kerana artis yang bernaung di bawah mereka juga tidak seramai ketika berada di bawah Maestro, jadi kami (artis AESB) tidak terlepas pandang,” katanya.
Membandingkan dua syarikat pengurusan artis itu, Stacy atau nama sebenarnya Stracie Angie Anam lebih selesa dengan syarikat baru berkenaan. Sekurang- kurangnya, dia tidak perlu menunggu lama untuk mengetahui apakah perancangan yang bakal dilakukan syarikat berkenaan demi masa depannya.
“Tidak elok pula untuk saya bercerita soal lalu. Tetapi, apa yang boleh saya katakan, AE menjalankan kerja dengan baik. Tidak tahu pula bagaimana dengan artis lain tetapi dengan saya, semuanya berjalan dengan lancar,” katanya gembira.
Bercerita mengenai perkembangan terbarunya, Stacy baru saja menerima sebuah lagu baru daripada KRU. Katanya, lagu berkenaan masih lagi dalam proses untuk dijadikan single terbarunya.
“Buat masa ini, saya akan menghantar lagu berjudul Pakai Buang untuk dijadikan single. Dalam masa sama, klip video lagu berkenaan juga sudah selesai dirakamkan dan ia hanya menunggu masa untuk ditayangkan.
“Selain itu, saya baru saja selesai merakamkan lagu latar untuk drama Menggegar Dunia bersama Adam. Jadi, pemilihan lagu untuk single seterusnya masih lagi dilakukan,” katanya.
Selain menyanyi, dia pernah dilamar sebuah produksi lakonan. Pada mulanya, Stacy begitu teruja untuk menjayakan drama berkenaan tetapi kerana jadual padat, ia akhirnya terpaksa ditolak.
“Ketika mendapat tawaran berkenaan, saya cukup gembira. Bila lagi saya mahu menimba pengalaman baru. Begitupun, kerana jadual padat dengan aktiviti pentas saya tidak dapat menjayakannya.
“Bagaimanapun, rasanya buat masa ini lebih baik saya menumpukan seratus peratus perhatian terhadap bidang nyanyian,” katanya.
wow..pasti meletopz..
ReplyDeletexsabar nak dngar..
ReplyDeletewah duet stacy n adam pasti malatop!!!! dua2 kan pandai menari ...alamak terlebih sudaa!!!
ReplyDelete