Oleh RABIATUL ADAWIYAH
KOH ABDULLAH
utusan online
MEREKA punya impian dan seperti mimpi, akhirnya berjaya melakar kejayaan sebagai finalis program televisyen realiti paling popular di Malaysia, Akademi Fantasia Musim Keenam (AF6).
Masing-masing mula mengukir impian untuk berjaya dalam bidang seni walaupun baru dua minggu mereka bergelar artis. Hakikatnya, bukan mudah bagi Stacy, Riz, Nubhan, Toi dan Nadia merealisasikan cita-cita mereka.
Yang pasti, matlamat mereka hanya satu iaitu ingin menjadi penghibur yang berjaya dan mampu bertahan lama. Persoalannya, mampukah kelima-limanya bertahan dalam industri ini?
Melalui sesi fotografi bersama mereka di studio Utusan baru-baru ini, masing-masing mempamerkan wajah penuh harapan untuk terus berjaya.
Namun untuk berjaya, bukan sahaja dari segi keupayaan menyanyi dan melakukan persembahan, malah persediaan mental dan ilmu perlu dilakukan.
Bagi Stracie Angie Anam (Stacy), 18, dia sendiri tidak pernah bermimpi akan menjadi artis apatah lagi bergelar juara AF6.
“Kemenangan ini memberi inspirasi kepada saya untuk kekal dalam industri ini. Saya sendiri ingin memperbaiki dan mempelajari ilmu vokal dan komunikasi sebagai persiapan awal untuk menempuh cabaran dalam bidang ini kelak,” jelas gadis yang meminati genre muzik hip-hop dan rancak ini.
Tambahnya, sebagai pelajar pertama dari negeri Sabah yang dipilih juara AF, dia akan terus berusaha memperbaiki kualiti nyanyian di samping meneruskan pelajaran di peringkat Sijil Pelajaran Malaysia.
“Aspek ini penting untuk seseorang artis itu sentiasa diminati dan cemerlang,” katanya yang ingin dikenali peminat sebagai seorang yang ceria.
Bagi Ahmad Nubhan Ahamad, (Nubhan) 22, pengalaman yang menarik dalam akademi telah mengajar dia menjadi seorang yang bercita-cita tinggi.
Impian sebagai artis memang sudah lama diidamkan dan kejayaan tempat ketiga akan dijadikan batu loncatan untuk dia mengorak langkah.
“Selain mengikuti perancangan Maestro, saya akan cuba memperbaiki mutu nyanyian melalui kelas-kelas vokal yang ingin dihadiri kelak.
“Bergelar artis memberi peluang kepada saya memperbaiki diri serta membantu keluarga,” kata anak bongsu daripada lapan adik-beradik ini.
No comments:
Post a Comment