SI manis mewakili kategori Etnik Kreatif manakala si kecil molek pula Pop Rock. Namun, tatkala Farawahida Razali, 23, atau Fara dan Stacie Angie Anam, 18 atau Stacy digandingkan bersama dalam satu sesi fotografi di studio Bintang Popular, genre dan irama yang dipertandingkan dalam Anugerah Juara Lagu Ke-23 malam ini, bagaikan menyatu.
“Setakat ini, dari segi persembahan pentas sudah 80 peratus siap, selebihnya lagi (20 peratus) cuma memerlukan Fara memperkemas dan membiasakan lagi aliran persembahan kerana latihan di Stadium Putra hanya bermula 14 Januari lalu,” ceritanya yang menjalani rakaman video klip di Jakarta untuk lagu Hilang Segalanya, Disember lalu.
Menyedari hakikat sukar mencari lagu popular menerusi kategori Etnik Kreatif, penyanyi yang cukup popular dengan lagu Tanpamu menyifatkan AJL23 sebagai platform untuk lagu yang kurang dikenali dan jarang diputarkan di stesen radio bagi mendekati halwa telinga pendengar.
“Lihat saja Erti hidup nyanyian Dayang Nurfaizah (2004) dan Warkah Buat Laila (2006) nyanyian Zahid berterusan mendapat sambutan sebaik melayakkan diri ke peringkat akhir suatu ketika dulu. Bukan itu saja, lagu yang bertujuan mengangkat seni warisan budaya bangsa ini turut mendapat hebahan menerusi radio popular Hot FM, Malaysia Hari Ini (MHI) di TV3, dan kebanyakan media massa tempatan,” kata Fara.
Stacy berlatih sampai jemu
Sebaliknya pula bagi gadis kelahiran Penampang, Sabah. Jika Farawahida yang lebih dulu menimba pengalaman sudah 80 peratus siap, Stacy masih pada kadar 70 peratus ketika ditemui minggu lalu.
“Mungkin keyakinan untuk membuat persembahan itu sudah ada tetapi keyakinan untuk bertanding di pentas pengiktirafan muzik segah AJL, rasanya masih perlu diraih menerusi pengalaman,” katanya yang sehingga ke saat akhir masih giat menjalankan latihan intensif memandangkan lagu Aku Stacy (Intan Norul Azlin/Intan Norul Azlin/ Layla Ismail) agak rancak dan catchy.
“Stacy sanggup berlatih sampai jemu asalkan Stacy perolehi keyakinan dan menguasai konsep persembahan serta persembahan vokal secara seimbang,” jelasnya yang tidak terlalu menitikberatkan gimik dan kelainan yang melampau.
Seperti Fara, Stacy juga menaruh harapan untuk mengecap kemenangan walaupun dia sedar bukan calang-calang lagu yang menyaingi dalam AJL23.
“Dalam usia semuda ini Stacy sudah berpeluang ke pertandingan sehebat AJL. Sekiranya rezeki menyebelahi Stacy, sememangnya ia bonus buat kerjaya Stacy yang masih setahun jagung ini,” katanya yang menaruh keazaman untuk menyambung pembelajaran bagi membolehkannya mengambil Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun ini.
1 comment:
good luck stacy!!!
jom stacy kita amik spm sama2..
hahaha
Post a Comment