ahmadelrafaei@hmetro.com.my
Rap |
KUNJUNGAN sulung Karnival Gegaria Harian Metro di lokasi kedua bertempat di Dataran Dewan Merdeka, Dungun, Terengganu pada 9 dan 10 Oktober lalu nyata mencipta sejarah sendiri apabila mendapat sambutan menggalakkan daripada pengunjung setempat. Acara selama dua hari itu yang turut menganjurkan pelbagai pertandingan seperti bola sepak, bola jaring termasuk permainan rakyat, wau dan dam aji mengundang tarikan pada pengunjung untuk bersama-sama menjayakan acara ini. |
Menariknya, kemuncak acara ini dimeriahkan dengan persembahan tujuh artis yang terbabit menerusi Konsert Gegaria yang berlangsung pada malam kedua. Bersama dua anak jati Terengganu iaitu Anis Suraya dan juara Akademi Fantasia musim keempat, Mohd Faizal Ramly, persembahan juga dimeriahkan dengan kehadiran Nubhan, Along (Raja Lawak 2, Alyah, kumpulan Butterfly dan Jinbara.
Sebagaimana sambutan pada pertandingan akhir Metro Idol yang diadakan pada malam sebelumnya mencatat sambutan seramai 15,000 pengunjung, untuk konsert kali ini pula pengunjung di sana terus memberi sokongan apabila 20,000 penonton mengambil kesempatan memenuhi segenap ruang di lokasi berkenaan.
Apa yang menarik perhatian, konsert yang bermula lewat setengah jam daripada waktu asal, jam 9 malam tetap dinanti ramai pengunjung walaupun hujan sejak 6 petang. Tirai persembahan dibuka dengan kemunculan Along menyampaikan lagu Aspalela yang pernah dipopularkan Saiful Apek.
Disusuli kemunculan Anis yang menyampaikan dua lagu iaitu Hadirlah dan Terasing, pengunjung mula bersorak apabila melihat aksi Anis menari untuk lagu keduanya itu. Anis yang berasal dari Kuala Terengganu bertanya khabar kepada pengunjung yang berada di situ sebelum membuat persembahan.
Beralih perhatian pada bekas peserta Akademi Fantasia keenam, Nubhan, persembahan penyanyi berusia 22 tahun ini menarik perhatian peminat remaja. Nubhan memulakan persembahan menerusi lagu rancak, Jatuh Cinta Lagi (nyanyian asal kumpulan Matta) sebelum menjemput dua pengunjung naik ke pentas untuk beramah mesra.
Dibantu dua pengacara majlis iaitu Along bersama Rudy Syareme Sheriffudin, keadaan menjadi gamat dengan sorakan pengunjung yang menyaksikan gelagat dua pengunjung bertuah itu. Mereka juga mengiringi Nubhan menyampaikan lagu popularnya, Ada Untukmu.
Memberikan variasi pada persembahan malam itu, kemunculan kumpulan Butterfly memberikan kejutan. Bagi pengunjung di situ yang belum pernah melihat persembahan lima anggota remaja wanita ini pasti terpegun dengan aksi mereka menyanyi, bermain gitar, keyboard dan dram di atas pentas.
Kumpulan ini yang banyak menyokong Harian Metro pada acara lain sebelum ini, terus memberi sokongan dan komitmen dengan persembahan bertenaga. Mereka menghiburkan pengunjung dengan persembahan lagu popular mereka, Oh Kawan. Untuk persembahan kedua, mereka memeriahkan suasana dengan lagu Aidilfitri, Indahnya Beraya Di Desa.
Berbeza dengan versi asal lagu ini yang pernah disampaikan Azlina Aziz, kumpulan ini mengubah melodi pada genre rock. Menghangatkan suasana malam itu, kumpulan ini sempat mengajak dua peminat wanitanya naik ke pentas menari bersama untuk lagu seterusnya, Goyang Inul.
Begitu juga dengan Alyah menyampaikan lagu popular, Tak Mungkin Kerna Sayang sebaik tiba gilirannya selepas itu. Alyah kemudian menyanyikan lagu Just Dance (Lady Gaga). Semakin persembahan menghampiri kemuncak, kumpulan Jinbara tampil menguasai pentas dengan tiga lagu iaitu Kasihnya Laila, Cinta Pantai Merdeka dan Farhana.
Nyata, pemilihan Jinbara di penghujung konsert ini berjaya menarik perhatian pengunjung untuk terus berhibur dalam persembahan yang berlangsung dua jam ini. Sama ada lagu rancak Kasihnya Laila mahupun rentak sentimental menerusi Cinta Pantai Merdeka, pengunjung yang terdiri peminat fanatik mereka tetap menyanyi bersama. Menutup tirai, kesemua artis menyanyikan lagu Selamat Hari Raya.
Bagi Alyah yang pertama kali mengadakan persembahan di sini, terkejut dengan sambutan yang diberikan pengunjung apatah lagi mereka sanggup bermandi hujan untuk menyaksikan persembahan artis kali ini. Alyah menganggap sambutan ini suatu yang luar biasa.
"Sebelum persembahan bermula, hujan masih turun. Saya menjangkakan pengunjung makin berkurangan. Sebaliknya apabila saya naik ke pentas, saya lihat ramai pengunjung memenuhi tapak karnival walaupun ada antara mereka berpayung.
"Pada saya, persembahan dan acara ini suatu yang bagus untuk diadakan khusus di kawasan luar bandar. Sebenarnya penduduk di luar bandar kurang menyaksikan persembahan seperti ini dan ini memberi peluang pada mereka untuk berhibur," katanya.
Pandangan yang sama dikongsi Nubhan yang menyifatkan persembahan dan acara ini berjaya. Katanya, dia terharu dengan sambutan pengunjung tidak mengira usia hadir beramai-ramai.
Sebelum terbabit dengan persembahan untuk Konsert Gegaria Harian Metro, Nubhan bersama Anis dan Faizal turut berkesempatan bertemu pengunjung di gerai Harian Metro pada sebelah siang. Dalam pertemuan itu, mereka beramah mesra, mengadakan kuiz, bergambar dan memberikan autograf pada pengunjung yang hadir.
"Keunggulan Harian Metro sebagai akhbar bahasa Malaysia nombor satu menjadi faktor pada tarikan pengunjung untuk hadir memeriahkan acara ini. Sambutan pengunjung ini juga menjadi kejayaan apabila akhbar ini terus berada di hati pembaca," katanya.
Anis pula percaya sambutan penduduk di luar bandar sering tidak mengecewakan apabila acara seperti ini dianjurkan. Sebagai anak jati Terengganu, dia berbangga dan terharu dengan sambutan yang diberikan pengunjung pada acara ini.
"Saya berharap acara ini dapat diteruskan pada masa akan datang. Sudah tiba masanya Harian Metro meneruskan acara sendiri sebagai tanda penghargaan kepada pembaca setia mereka.
"Sebagai artis, saya tetap menyokong Harian Metro dan mendoakan kejayaan akhbar ini bertambah pada masa akan datang," katanya.
sumber : Harian Metro
No comments:
Post a Comment