Oleh Farihad Shalla Mahmud
Berita Harian
Stacy dapat berita nenek meninggal dunia pada malam FFM21
FESTIVAL Filem Malaysia ke-21 yang berlangsung malam Sabtu lalu mencatat sejarah tersendiri buat juara Akademi Fantasia 6, Stacy apabila dia tersalah intro ketika membuat persembahan dalam acara selingan. Gara-gara kesilapan itu, Stacy ketika dihubungi Hip kelmarin mengakui dia begitu tertekan kerana bimbang reputasinya sebagai juara sebuah program realiti popular tercalar akibat kesilapan yang tidak disengajakan itu.
Menyifatkan peristiwa itu sebagai kejadian yang tak mungkin dapat dilupakannya selama-lamanya, Stacy memohon maaf kepada semua pihak yang terbabit seraya menegaskan, dia tidak berniat langsung untuk mencacatkan majlis yang penuh berprestij itu.
Bukan sengaja mencipta alasan untuk mempertahankan diri namun menurut pemilik nama penuh Stracie Angie Anam ini, kesilapan itu berpunca kerana dia hilang fokus dan terlalu gugup berdepan dengan penonton sekali gus menolak dakwaan yang kononnya tidak menghadiri sesi latihan.
Mengambil iktibar daripada kejadian itu, Stacy berharap peristiwa itu tidak menjejaskan namanya di kalangan penganjur dan menaruh harapan moga dia terus diberikan peluang untuk menjayakan persembahan seperti itu.
Hip: Boleh Stacy jelaskan bagaimana Stacy boleh melakukan kesilapan sewaktu membuat persembahan pada malam Festival Filem Malaysia yang lalu?
HILANG FOKUS: Gugup dan menerima khabar duka, membuatkan persembahan Stacy jadi serba tak kena pada malam FFM21 lalu.
Stacy: Sebenarnya malam itu saya mendapat tahu yang nenek kesayangan saya meninggal dunia. Jadi perasaan saya bercampur baur dan sepatutnya mengikut adat, saya tidak boleh meneruskan persembahan. Bagaimanapun, menyedari saya ada komitmen yang perlu diselesaikan maka saya teruskan juga menyanyi. Akibatnya, saya hilang tumpuan. Bukan itu saja, saya juga gugup apabila berada di pentas. Akibatnya, persembahan malam itu jadi serba tak kena. Saya ada dengar juga orang kata yang saya tak datang latihan dan disebabkan itulah persembahan saya jadi kelam kabut. Perkara itu tidak berlaku sebenarnya. Saya tak pernah melakukan perkara yang boleh merosakkan reputasi. Sebelum persembahan bermula, saya cukup teruja kerana bukan senang mendapat peluang sebegini. Saya berusaha sebaik mungkin dan datang latihan seperti yang diminta. Cuma apa yang boleh saya jelaskan, sewaktu latihan, muzik yang dimainkan berbeza sedikit dengan persembahan sebenar. Ini membuatkan saya keliru di bahagian mana intro sebenar lagu berkenaan. Tapi, apabila saya nyatakan begini, bukanlah bermakna saya meletakkan kesalahan itu di bahu mereka (pemuzik)
Hip: Bila berlaku situasi seperti itu, bagaimana Stacy menghadapinya?
Stacy: Bila kejadian itu berlaku, tidak dinafikan hanya tuhan saja yang tahu betapa malunya saya ketika itu. Tetapi saya cuba menenangkan diri dan dengar muziknya dan fokus betul-betul sebelum menyambung kembali nyanyian. Walaupun perasaan gementar ada tetapi sedaya upaya mengusirnya supaya tumpuan saya terhadap persembahan tidak terganggu. Selepas persembahan selesai, saya menangis di belakang pentas kerana saya malu dan rasa bersalah kerana mencacatkan majlis bertaraf nasional. Namun, bila fikir kembali, saya anggap semuanya itu sudah ditentukan dan saya terima semuanya sebagai satu pengajaran.
Hip: Tapi Stacy tahukan kesilapan itu sedikit sebanyak boleh memberi kesan terhadap perkembangan kerjaya Stacy?
Stacy: Saya tahu dan tidak dinafikan saya menanggung malu yang amat sangat di atas pentas masa itu. Itulah kali pertama saya berdepan dengan peristiwa paling memalukan. Dalam hati berkata, habislah saya hari ini. Mesti ramai orang akan mempertikaikan kredibiliti saya selepas ini. Tentu ada orang mempersoalkan kemenangan saya dengan kejadian tempoh hari. Saya harap ini tidak berlaku kerana hendak buat macam mana, kesilapan itu bukan saya yang mahu. Mungkin ada hikmah di sebaliknya dan saya akan belajar di sebalik kesilapan yang dilakukan. Saya juga ingin memohon maaf kepada penganjur, Astro dan peminat atas kesilapan itu. Dan saya harap, saya tidak dihukum atas kesalahan yang tidak disengajakan itu. Saya mohon moga terus diberi peluang membuat persembahan untuk acara seperti ini.
Hip: Pakaian Stacy malam itu juga dikatakan tidak sesuai dengan lagu yang dinyanyikan. Komen sikit?
Stacy: Mengenai pakaian, saya akui pakaian itu memang saya yang pilih dan atas cadangan pihak Maestro sendiri. Memandangkan konsep pakaian malam itu memerlukan saya kelihatan glamor, jadi saya tak rasakan pemilihan pakaian saya salah. Lagipun ia berkonsepkan tradisional dan saya bangga dengan pakaian itu. Yang penting, saya selesa dengan apa yang saya gayakan.
Hip : Undangan persembahan untuk juara AF biasanya lebat, Stacy pula bagaimana?
Stacy: Setakat ini saya bersyukur kerana undangan persembahan tak pernah putus. Saya harap perkara ini akan berkekalan kerana ini saja cara saya untuk menyara keluarga di kampung. Jika ada rezeki lebih, saya juga bercadang untuk membawa keluarga tinggal di sini bersama saya. Kasihan meninggalkan mereka di sana.
No comments:
Post a Comment