Oleh NORLIZA MOHAMAD ZAKARIA
liza.zakaria@utusan.com.my
TIADA apa yang lebih menggembirakan seseorang itu andai apa yang diidam-idamkan selama ini menjadi kenyataan.
Begitulah juga dengan juara wanita kedua rancangan realiti popular, Akademi Fantasia musim keenam (AF6), Stracie Angie Anam atau lebih mesra disapa Stacy.
Ibarat mimpi jadi nyata, hasrat gadis comel kelahiran Kota Kinabalu, Sabah ini untuk meneruskan pelajarannya selepas terkandas sebelum menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun lalu, kini kian terlaksana.
Stacy baru-baru ini menerima kejutan daripada pengurusan syarikat rakamannya, Maestro Talent & Management (Maestro) apabila diberitahu dia sudah mendapat tempat untuk melanjutkan pelajaran di Universiti Teknologi Kreatif LimKokWing (UTKLKW).
Kegembiraan Stacy tambah berganda apabila dia juga dipertemukan dengan pengasas pusat pengajian tinggi yang bersifat antarabangsa dan berbilang budaya di Malaysia yang juga Presiden TKLKW, Tan Sri Lim Kok Wing.
Paling mengharukan bintang muda itu juga ialah dia bakal menerima biasiswa penuh daripada universiti swasta itu sepanjang tempoh pembelajarannya di sana.
Bercakap kepada Hits, Stacy berkata, sehingga kini dia masih lagi terkejut dengan perhatian yang diberi oleh pihak pengurusan kerjaya seninya dan tokoh terbilang dalam lapangan akademik itu.
“Saya rasa gembira sangat bila diberitahu dapat sambung belajar. Saya memang ucapkan terima kasih banyak kepada pihak terutamanya Tan Sri Lim Kok Wing dan pengurusan saya, Maestro kerana memberi peluang kepada saya.
“Sebelum ini saya tak sempat nak habiskan pelajaran saya kerana kesempitan wang, bila dapat tawaran sebegini memang rasa tak sangka sangat,” kata Stacy yang jelas begitu gembira dengan berita tersebut.
Menurut anak kelima daripada enam beradik itu, dia bercadang untuk meneruskan pengajian dalam aliran muzik di universiti yang turut disertai oleh sejumlah besar penuntut antarabangsa itu.
Dalam kunjungan singkat Stacy ke universiti itu untuk bertemu dengan Lim Kok Wing, Stacy juga mengisi borang pendaftaran.
“Pada awalnya, saya ditawarkan untuk menyambung pengajian pada bulan depan (Ogos), tetapi kerana terikat dengan jadual seni menyebabkan saya terpaksa menundanya untuk pengajian sesi Februari tahun depan,” kata Stacy lagi.
Biarpun bakal sibuk dengan pengajian, namun Stacy berikrar akan memberikan perhatian yang sama pada kerjaya seninya.
“Nyanyian tetap sama seperti dahulu. Saya akan berbincang dengan Maestro berhubung penyusunan jadual seni saya,” kata penyanyi berusia 18 tahun itu lagi.
Sementara itu, Ketua Pegawai Operasi Maestro, Freddie Fernandez ketika dihubungi berkata, peluang belajar diberikan kepada Stacy setelah Maestro menerima pelawaan daripada Lim Kok Wing sendiri.
“Saya rasa ini adalah peluang baik untuk Stacy belajar ilmu muzik dari semua aspek. Sebagai pihak pengurusan, Maestro hanya membantu Stacy dalam membina kerjaya dia.
“Mungkin dia akan mulakan pelajaran dengan menghadiri kursus peringkat sijil dalam bidang muzik terlebih dahulu. Kalau prestasi bagus bolehlah dia sambung pelajaran ke peringkat lebih tinggi nanti,” kata Freddie.
Menurut Freddie, Stacy bakal menerima biasiswa penuh daripada universiti swasta itu sepanjang tempoh pembelajarannya di sana.
Berbicara tentang jadual kerja Stacy selepas memulakan pelajaran, kata Freddie, pihaknya akan menyusun semula jadual nyanyian Stacy agar jadual kelasnya tidak terganggu.
“Kita akan cuba susun semula jadual kerja Stacy dan akan cuba siapkan semua proses rakaman dan promosi album pertamanya sebelum Februari tahun hadapan.
“Harapan kami Stacy tidak akan mensia- siakan peluang yang diberikan kepadanya. Semoga dia boleh fokus kepada pelajarannya nanti untuk terus membina kerjaya nyanyiannya,” kata Freddie lagi.
No comments:
Post a Comment