ahmadelrafaei@hmetro.com.my
Rap |
PELUANG menjadi penyanyi sekarang tidak seperti suatu ketika dulu apabila bakat baru perlu menghadiri uji bakat di syarikat rakaman. Senario berbeza menyaksikan penyanyi baru lebih mudah dicungkil bakat menerusi program realiti TV. |
Memberikan kelebihan, penyanyi ciptaan program ini meraih populariti dalam masa singkat selepas mendapat sokongan penonton yang mengundi mereka menerusi SMS. Ini memudahkan mereka untuk menempa nama dalam bidang hiburan apatah lagi segelintir daripada mereka lebih bersandarkan populariti berbanding bakat sebenar.
Bagi dua penyanyi yang mempunyai latar belakang muzik berbeza iaitu Nubhan dan Anis Suraya, mereka mempunyai pandangan sendiri mengenai pencapaian karier yang dibina. Nubhan yang popular menerusi lagu Ada Untukmu sebelum ini pernah menyertai program realiti, Akademi Fantasia musim keenam (AF6).
Biarpun dia tewas kepada Stacy yang bergelar juara, Nubhan tidak berputus asa untuk meraih peluang sebagai penyanyi baru. Hasilnya, dia yang bernaung di bawah label Artiste United Records (AUR) mengakui masih mendapat tawaran untuk mengadakan persembahan dari semasa ke semasa.
Katanya, dia tidak kecewa dengan apa yang dilalui sebaliknya bersemangat mencari peluang untuk terus menyanyi. Berbanding pencapaian setahun lalu selepas menjadi 'graduan' AF6, dia banyak memberi fokus pada karier nyanyian semata-mata. Namun, dia kini mampu berbangga dengan pencapaian diri kerana mencuba nasib dalam bidang lakonan.
"Sejak tiga minggu yang lalu, saya masih terima beberapa jemputan mengadakan persembahan termasuk rumah terbuka sempena Aidilfitri. Dalam pada itu, saya juga terima tawaran berlakon.
"Sebelum ini, saya pernah mencuba menerusi filem pertama saya, Romance arahan Sharad Sharan yang menjalani penggambaran empat bulan lalu. Filem ini yang diadaptasi daripada karya novelis, Ahadiat Akashah dijangka tayangan pada tahun depan.
"Dalam filem ini, saya melakonkan watak Sapi iaitu remaja nakal bersama tiga rakan lain lakonan Farid Kamil, Said Nabil dan Zoey. Pada saya, pengalaman berlakon dalam filem ini cukup mencabar dari aspek mental dan fizikal.
"Ia mengajar saya erti disiplin diri dan perlu belajar bagaimana meluahkan ekspresi lakonan dengan berkesan mengikut mood di setiap situasi. Biarpun ada rasa tertekan tetapi saya seronok berlakon apatah lagi saya berpeluang belajar daripada pelakon berpengalaman seperti Farid, Lisa Surihani dan Raja Farah yang terbabit sama berlakon," katanya.
Pada Ramadan lalu, Nubhan turut terbabit dengan penggambaran drama baru, Cinta Lelong arahan Michael Ang yang akan ditayangkan di Astro Prima. Drama ini yang dijayakan sama Erra Fazira, Louisa Chong dan Nikki menyaksikan Nubhan melakonkan karakter penghantar bunga.
Mengenai perancangan karier seni, Nubhan menyatakan dia berminat untuk meneruskan dua bidang serentak. Namun, buat masa ini dia mahu beri fokus pada nyanyian dulu kerana ingin memastikan proses penerbitan album sulungnya yang dijangka berada di pasaran awal Disember nanti berjalan lancar.
"Saya boleh berbahasa Mandarin sedikit dan ini memberi kelebihan pada saya untuk menarik minat pendengar Cina. Ketika saya berusia 12 tahun, saya pernah menyertai satu pertandingan nyanyian lagu Mandarin dan menjadi juara.
"Saya percaya penyanyi perlu mempunyai kelainan menerusi album baru yang ditampilkan. Sama ada album baru boleh jual atau tidak, itu soal lain.
"Apa yang penting, jika kualiti album bagus peminat tetap akan beli. Seperti album ini, saya yakin ia boleh jual dan mendapat sambutan positif daripada peminat," katanya.
Nubhan berkata, dia merasai banyak perubahan pada diri berbanding di awal kemunculan selepas AF6 berakhir. Jika dulu, dia mempunyai perasaan malu, takut dan tidak selesa berdepan dengan khalayak tetapi kini dia makin matang dalam menerima kritikan peminat sambil memperbaiki diri ke arah pencapaian yang lebih baik.
NUBHAN
NAMA: Ahmad Nubhan Ahamad
NAMA KOMERSIAL: Nubhan
TARIKH LAHIR: 2 April 1986
USIA: 23 tahun
ASAL: Kuala Pilah, Negeri Sembilan
PENCAPAIAN: Tempat ketiga Akademi Fantasia 6
1 comment:
bersabar aje la nubhan... peluang masih byk yg terbuka.... yang penting jangan mudah putus asa... take care yourself as akak care.
Post a Comment