Oleh Zaidi Mohamad
Dari (kiri); Stacy dan Mila. |
Mila dan Stacy terus lakar nama di persada seni, tetapi mengharungi kisah kontroversi yang berlainan
NAMA kedua-dua gadis ini masih bertahan dalam arus seni yang deras sehingga boleh menyebabkan kelemasan kalau tidak bijak dengan cara mengharunginya. Mereka berkongsi pentas anugerah dan memperoleh kejayaan yang sama.
Mila bersinar sebagai Juara AF musim kelima, manakala Stacy menyambung takhta dan gelaran itu pada musim keenam. Kedua-duanya juga meneruskan populariti masing-masing menerusi Anugerah Bintang Popular Berita Harian bagi kategori Artis Baru Wanita Popular.
Mila menyandang anugerah cetusan Berita Harian itu pada 2007, manakala Stacy pula tahun lalu. Lagu nyanyian mereka juga masing-masing terus meniti di bibir peminat. Cuma dalam soal kontroversi, Stacy jauh lebih bertuah berbanding Mila yang kerap dihimpit kisah panas.
Kerjaya Stacy berjalan lancar dan kalau ada pun gosip yang hadir semuanya boleh dianggap sebagai tidak panas. Sebagai contoh, pernah timbul cerita kononnya Stacy menjalinkan cinta dengan rakan seperjuangannya, Akim.
"Sebenarnya memang kami berkawan sesama rakan dalam bidang ini. Tak lebih daripada itu. Mungkin kami masih baru dan ada kalanya, ia disalah tafsir sesetengah orang. Biarlah. Kami sendiri tahu yang mana betul atau sebaliknya.
DUA juara Akademi Fantasia ini mahu terus maju dalam industri hiburan tanah air. |
"Benar orang kata kalau jadi artis, gosip adalah sebahagian daripada kehidupannya. Tapi saya bersyukur selagi gosip itu tidak menjejaskan hubungan sesama rakan artis lain, saya masih boleh layan. Ataupun hanya sekadar tersenyum.
"Tapi kalau ada yang bertanya, termasuk rakan media, saya akan jawab perkara sebenar kerana tiada apa pun yang nak disembunyikan di antara kami. Saya juga masih muda untuk memikirkan soal cinta. Cita-cita untuk terus berjaya dalam dunia seni masih jauh lagi," kata Stacy pada majlis pelancaran album Era Muzik Hits Terkini, minggu lalu.
kata Stacy lagi dengan usianya yang baru 20 tahun, dia bersyukur keluarga dan peminatnya sering memberi dorongan dan sokongan. Biarpun sanggup merantau dari Sabah untuk mengejar impiannya di ibu kota, keluarganya masih kerap bertandang ke Kuala Lumpur.
"Orang selalu kata, selepas usia 21 tahun baru dapat kunci kebebasan. Bermakna saya masih di bawah jagaan keluarga. Dalam apa sekalipun yang saya lakukan, saya masih merujuk dan diselia keluarga. Mungkin Stacy akan cepat hanyut tanpa pemerhatian keluarga," katanya.
Selepas diterima dan menjadi sebutan tahun lalu, Stacy juga mengharapkan tuahnya untuk terus melakar kejayaan pada masa akan datang. Kata anak kelima daripada enam beradik ini, misinya hanya mahu terus wujud di persada seni.
Stacy turut menyatakan untuk menyambung pengajian di sebuah kolej dalam bidang Muzik dan Bunyi. Kalau jadi kenyataan, katanya, dia akan memulakan pengajian itu pada Februari atau Mac.
"Sejak di bawah pengurusan Astro Entertainment Sdn Bhd (AESB), kerjaya seni semakin terurus. Hampir setiap ketika, AESB tidak betah duduk diam dan terus memastikan kelangsungan artis naungannya.
"Oleh sebab itu, saya meletakkan sedikit kepercayaan untuk belajar dan pada masa yang sama tidak mengabaikan dunia seni. Kedua-dua cabang bidang ini sama penting dan mudah-mudahan ada waktu untuk saya terus memanjangkan minat saya ini," katanya positif.
Mahu fokus bidang nyanyian
SEMENTARA itu, Mila pula berharap dapat memberikan tumpuan lebih terhadap nyanyian pada tahun ini. Gadis kelahiran Pulau Mutiara ini masih dalam perbincangan dengan beberapa komposer untuk menghasilkan lagu baru.
Menurut orang kuat syarikat LuvMILA Corporation Sdn Bhd ini, kali terakhir muncul dengan album sulungnya ialah pada 2008. Katanya lagi, apa yang mampu dilakukan dengan keadaan pasaran yang tidak menentu ialah dengan menghasilkan lagu single.
"Tahun ini, Mila harap dan mensasarkan untuk menghasilkan lima lagu. Dapat memiliki album mini pun sudah memadai. Ia juga sudah layak untuk disenaraikan di Anugerah Industri Muzik.
"Mila mungkin merakamkan lagu secara berperingkat-peringkat. Mila juga ada berbincang dengan Aidit Alfian dan AD Samad untuk mencari lagu yang berlainan daripada genre yang sudah ada di pasaran. Tapi apapun perubahan yang ingin dilakukan, Mila harus pastikan lagu itu bersesuaian dengan suara," kata Mila yang bersama AESB untuk tempoh dua tahun lagi.
Menurut Mila yang baru muncul dengan single Jika Kau Ubah Fikiran, dia akan muncul dengan single baru selewat-lewatnya selepas tamat drama Kau Dan Aku. Penyanyi ini juga boleh tersenyum bangga dan menyenangkan ahli keluarganya dengan memiliki rumah sendiri di Puchong.
"Alhamdulillah, rumah ini selesa untuk kami. Sebelum ini, Mila menyewa di Damansara. Bukan mudah juga Mila nak memiliki rumah ini kerana bukan senang mendapat pinjaman menggunakan lesen bergelar artis.
"Mila bukan seperti pekerja swasta dan kerajaan yang mempunyai penyata gaji. Tapi penantian berakhir dan Mila bersyukur dapat juga memiliki rumah sendiri buat jaminan dan kesenangan masa depan," demikian kata Mila yang turut memegang peranan kecil bagi empat babak dalam filem Lu Pikirlah Sendiri De Movie mulai Februari ini.
agu dendangan Mila dan Stacy dimuatkan dalam album kompilasi berjudul Era Muzik Hits Terkini. Ia turut memuatkan nyanyian bintang realiti Akademi Fantasia lain seperti Mawi, Akim, Aril, Hafiz, Yazid dan Isma. Sebagai bonus untuk peminat Anita Sarawak, lagu Maafkan juga dimuatkan.
Antara lagu lain yang dimuatkan seperti Jika Kau Ubah Fikiran (Mila), Pakai Buang (Stacy), Menggegar Dunia (Adam dan Stacy), Menatap Matamu (Aril), Sujud (Mawi dan KRU), Masih Jelas (Hafiz), Bengang (Akim), Berbicara (Isma) dan Sugul (Yazid).
INFO: Stacy
- NAMA PENUH: Stracie Angie Anam
- TARIKH LAHIR: 18 Ogos 1990
- ASAL: Penampang, Kota Kinabalu, Sabah
- KELUARGA: Anak kelima daripada enam beradik
- ALBUM: Aku Stacy mengandungi lagu seperti Aku Stacy, Gagap, Cerah, Cinta Yang Ku Duga dan Pakai Buang
- SINGLE: Menggegar Dunia (duet bersama Adam AF2) dan Primadona (solo), kedua-duanya adalah lagu runut bunyi filem My Spy
- DUTA: Power Root dan Intimate Sanitary Napkins
- PENCAPAIAN: Juara Akademi Fantasia 6 (AF6), Artis Baru Wanita Popular pada Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2008, Penyanyi Pop Popular Malaysia 2009 pada Shout Awards terbitan 8TV dan Ikon Belia Remaja Sabahan oleh Ketua Menteri Sabah
No comments:
Post a Comment