2010/04/28
PADA awal permulaan karier nyanyiannya tiga tahun lalu, tidak dinafikan Stacie Angie Anam atau Stacy, 20, gusar mencari haluan muzik sebenar. Malah, dia sendiri sukar menjangka nasib dirinya walaupun ketika itu bergelar juara Akademi Fantasia 6 (AF6).
Ia dibuktikan Stacy pada persembahannya di konsert istimewa yang dijayakan di Dewan Sri Putra, Bukit Jalil selepas program Debaran AF8 pada 18 April lalu. Sebaik namanya diumumkan, terbit laungan sorakan daripada peminat yang setia memberi sokongan.
Anak kelima daripada enam beradik ini memulakan persembahannya dengan lagu rancak, Aku Stacy yang pernah didendangkan pada konsert akhir AF6. Dalam persembahan yang dikendalikan Reza Mohammad sebagai pengacara, Stacy turut menyampaikan lagu Gagap dan Pakai Buang yang sememangnya berjaya melonjakkan Stacy.
Menurut Stacy, dia tidak puas menghiburkan peminatnya pada malam itu kerana hanya berpeluang membuat persembahan selama 30 minit. Malah, dalam tempoh itu, Stacy hanya dapat menyampaikan lima lagu termasuk single baru, Jahat dan Menggegar Dunia.
"Melihatkan sokongan peminat, saya jadi tak puas kerana suka menghiburkan mereka. Kalau ikutkan hati, hendak saja buat persembahan lebih lama. Selain itu, saya juga bersyukur kerana nama Stacy sudah mula diterima peminat.
"Usaha mencari muzik untuk mengetengahkan identiti sendiri sudah berhasil kerana pop dance cukup serasi dan sesuai dengan vokal saya. Saya suka menyanyi dan menari kerana mahu memberikan hiburan kepada penonton yang hadir.
"Bukan itu saja, persembahan di konsert berkenaan juga memberi peluang kepada saya menyanyikan semula lagu Aku Stacy. Lama saya tak menyanyikan lagu itu dan rata-rata peminat masih suka dan mengingatinya. Saya sangat gembira," katanya.
Melanjutkan pengajiannya di Universiti Limkokwing selama dua tahun di peringkat Diploma Bunyi dan Muzik, Stacy berkata kini, dia perlu membahagikan masa antara karier dan pelajaran. Ujarnya dua perkara ini menjadi keutamaan dalam hidupnya.
Ditanya mengenai gosip yang mengatakan dia menjalin hubungan cinta dengan pengarah muda, Syamsul Yusof, jawabnya itu hanya cerita lama. Kata Stacy, antara dirinya dan Syamsul tak pernah menjalinkan sebarang hubungan istimewa.
"Sebenarnya, kisah ini tercetus ketika kami dikatakan berduet untuk lagu dalam runut bunyi filem Evolusi KL Drift, tetapi akhirnya ia tak menjadi. Justeru, sekarang memang tiada sesiapa yang istimewa di hati ini kerana perjalanan saya masih jauh.
"Banyak yang perlu saya belajar dan peroleh dulu dalam karier sebelum bercinta. Setakat ini, saya gembira kerana keluarga memberikan sokongan termasuk peminat. Tanpa mereka, saya yakin pasti tidak akan berada di tahap ini.
"Apapun, paling bermakna bagi saya dalam konsert istimewa ini ialah dapat menyanyi lagu Menggegar Dunia bersama tiga rakan saya dalam kumpulan E-voke. Ini satu penghargaan bermakna kerana haluan kami sudah berbeza," katanya.
Menyentuh soal pembikinan albumnya, Stacy berkata buat masa sekarang, dia lebih selesa mengetengahkan single kepada pendengar. Namun, hasrat menghasilkan album tetap ada cuma bukan pada masa terdekat ini kerana perlukan persediaan.
Kata Stacy lagi, dia kalau boleh tidak mahu album yang tangkap muat dan kini biarlah tumpuan lebih diberikan untuk mengumpul lagu sesuai. Apa yang boleh dikatakan, idea menghasilkan album pernah dicadangkan komposer, Edry KRU.
"Tidak dinafikan, kebanyakan lagu saya memang dihasilkan Edry. Saya senang dengan karyanya kerana buat masa ini hanya Edry yang tahu cita rasa muzik pop dance saya diminati. Terus terang, Edry banyak membantu saya," katanya.
credit to harian metro
1 comment:
wah, tak sabar nak tgk showcase stacy tue,aku nak tgk stacy shuffle
Post a Comment