Apabila bercerita mengenai Stacy, pasti di dalam memori kita akan membayangkan seorang penyanyi yang bertubuh kecil tetapi mempunyai kualiti vokal yang hebat.
Ditambah dengan persembahannya yang penuh bertenaga dan lincah menari, kemunculan penyanyi yang berasal dari Sabah itu sememangnya dinanti-nantikan oleh semua pihak khususnya para peminatnya.
Namun di sebalik kehebatan persembahannya itu, terdapat segelintir peminat yang kurang berpuas hati kerana penyanyi yang cukup popular dengan lagu "Aku Stacy" dan "Gagap" itu gagal meraih sebarang anugerah di dalam mana-mana pertandingan nyanyian yang disertainya.
Terbaru, di pertandingan akhir 'Gah 1' yang diadakan di Sunway Lagoon di mana Stacy mempertaruhkan dua buah lagu, "Pakai Buang" dan "Mengegar Dunia", duet bersama Adam, dia sekali lagi gagal meraih sebarang anugerah.
Stacy, ketika diminta mengulas tentang perkara tersebut, sambil tersenyum memberitahu, mungkin belum tiba rezekinya untuk menang. Namun perkara tersebut sedikitpun tidak membuatkannya berputus asa atau 'malas' untuk menyertai mana-mana pertandingan selepas ini.
"Saya masih muda dan berhasrat untuk bergiat aktif buat tempoh masa yang lama di dalam dunia seni. Jika bukan tahun ini, mungkin pada tahun depan rezeki saya pula.
"Apa yang penting, di dalam setiap pertandingan yang saya sertai, saya akan lakukan persembahan dengan bersungguh-sungguh. Setiap kali saya menyertai pertandingan, saya tidak mengharapkan kemenangan tetapi mahu peminat yang tidak jemu-jemu memberikan sokongan kepada saya selama ini berpuas hati dengan persembahan saya.
"Dengan persembahan terbaik yang telah saya berikan, saya mahu peminat terus menanti-nantikan kemunculan saya di dalam apa jua persembahan," katanya yang optimis kejayaan akan menyebelahinya jika dia terus berusaha tanpa jemu.
Ditanya mengenai tanggapan segelintir peminat yang mendakwa dirinya selalu menampilkan tarian yang sama untuk setiap persembahan, Stacy segera menafikannya. Katanya, setiap lagu mempunyai konsep serta gerak tari yang tersendiri, jadi mustahil dia akan menarikan tarian yang sama untuk setiap lagu.
"Setiap lagu ada 'trademark' tersendiri. Jadi saya perlu menari mengikut 'trademark' serta konsep yang telah ditetapkan. Kalau ada orang yang cakap saya menari tarian yang sama untuk semua lagu, itu memang tidak betul.
"Malah selalunya untuk setiap persembahan, walaupun saya menyanyikan lagu yang sama, saya akan cuba buat kelainan supaya penonton tidak bosan. Selalunya saya akan ubah corak tarian di awal atau di akhir persembahan," katanya yang kini giat mempromosikan single terbarunya.
Seronok bergelar pelajar
Bercerita mengenai perkembangan terkini kerjaya seninya, Stacy memberitahu dia sedang sibuk membuat latihan bagi menjayakan konsert 'Gempak Astro' yang bakal diadakan pada 26 Jun di Batu Pahat, Johor.
Selain itu, tugasnya sebagai pelajar di kolej Lim Kok Wing dalam bidang bunyi dan muzik sedikit sebanyak membataskan pergerakannya. Namun dia gembira kerana segalanya berjalan lancar.
"Sekarang saya mempromosikan single terbaru, "Jahat" dan baru sahaja selesai membuat klip videonya. Mengenai album terbaru, apa yang boleh saya cakapkan, sekarang saya tengah mengumpul 'material' yang bersesuaian.
"Dalam masa yang sama, saya sibuk dengan tugas-tugas seorang pelajar. Memang seronok kerana rakan-rakan di kolej melayan saya seperti orang lain dan saya 'enjoy' dapat membuat pelbagai aktiviti dengan mereka," katanya.
Diusik dengan persoalan mengenai kemunculan para pelajar AF8 yang khabarnya semakin mendapat tempat di hati masyarakat, Stacy ternyata mempunyai pandangan tersendiri.
Katanya, dia menganggap bekas pelajar AF8 seperti adik-beradik kerana dilahirkan melalui program yang sama dan mahu bersaing secara sihat dengan mereka semua.
"Bukan sahaja pelajar AF8, malah ramai lagi penyanyi baru yang muncul saban hari. Saya tidak pernah berfikiran negatif dan percaya semua orang ada rezeki sendiri yang telah ditetapkan.
"Seperti yang saya katakan tadi, jika saya terus berusaha memberikan sesuatu yang terbaik kepada peminat, saya pasti akan dihargai oleh industri seni," jelasnya ramah.
No comments:
Post a Comment