Pengundi masih perlu menggunakan setem dan penghantaran pos untuk serahkan borang undian
SELAMA ini mereka tidak berpeluang untuk menerokai bangunan tersergam indah yang terletak di antara Daya Bumi dan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) itu. Kalau adapun hanyalah atas urusan biasa seperti mengirim surat, membeli setem atau membayar bil.
Namun, pada Jumaat lalu, pintu terbuka luas buat lima calon akhir Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2008 (ABPBH2008) iaitu Liyana Jasmay, Aizat, Lisa Surihani, Nubhan dan Fizo Omar apabila mereka diberi kesempatan bukan saja mendapat maklumat mengenai perkhidmatan yang disediakan tetapi juga melihat khazanah menarik yang tersimpan di bangunan Pejabat Pos Besar Malaysia.
Peluang itu tiba apabila mereka diundang untuk memeriahkan sidang media mengumumkan kerjasama antara Pos Malaysia Berhad (Pos Malaysia) dan Berita Harian Sdn Bhd (BHSB) untuk acara ABPBH2008 yang acara kemuncaknya berlangsung di Arena Of Stars, Genting Highlands, 12 April depan.
Pada majlis itu, Pos Malaysia turut memperkenalkan peti surat khas yang akan diletakkan di pejabat pos besar seluruh negara bagi kemudahan peminat menghantar borang pencalonan, memberi penajaan sebanyak RM150,000 serta mengumumkan untuk mengabadikan semua wajah pemenang ABPBH2008 untuk setiap kategori di dalam setem khas.
Perkara itu diumumkan sendiri, Pengarah Eksekutif merangkap Ketua Pegawai Operasi Kumpulan Pos Malaysia Berhad (Pos Malaysia), Datuk Abu Huraira Abu Yazid. Pengarang Kumpulan BHSB, Datuk Manja Ismail menerima replika cek penajaan itu bagi pihak BHSB. Hadir sama, Pengarang Hiburan Berita Harian merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pengelola ABPBH2008, Hanizam Abdullah.
Pastinya berita mengenai pengumuman mengenai wajah pemenang yang menghiasi setem khas itulah yang paling menarik minat mereka. Bukan calang-calang orang berpeluang mendapat keistimewaan itu.
Justeru, usaha Pos Malaysia membuktikan betapa usaha serta bakat anak seni dihargai dan diberikan pengiktirafan sewajarnya.
Walaupun pada dasarnya Pos Malaysia dan dunia hiburan bukanlah sesuatu yang sinonim namun apabila dilihat peranan mereka terutama ketika pengundian berlangsung, tak dapat dinafikan kedua-duanya saling berkaitan.
Hargai usaha peminat
JIKA teman lain hanya dicalonkan dalam satu kategori saja, namun Nuhban berjaya melepasi cabaran apabila namanya disenaraikan untuk dua kategori iaitu Penyanyi lelaki Popular dan Artis Baru lelaki Popular.
Bukan calang-calang orang boleh tersenarai ke peringkat akhir terutama untuk kategori Penyanyi Lelaki Popular. Tanpa sebarang album penuh dan hanya berbekalkan sebuah lagu single, Nubhan mencatat sejarah peribadi apabila tersenarai dalam kategori itu.
“Saya tak jangka boleh tersenarai dalam dua kategori sekali gus, ” jelas penyanyi yang cukup popular dengan lagu Ada Untukmu ini.
Ditanya apakah strategi Nubhan untuk melobi peminat supaya menobatkan dirinya sebagai pemenang, penyanyi muda ini berkata dia menyerahkan perkara itu kepada kelab peminatnya.
“Biarlah perkara itu diuruskan kelab peminat. Dan pada masa yang sama, saya akan menyertai sesi jelajah promosi ABPBH untuk bertemu peminat saya di serata tempat,” katanya sambil memberitahu masih dalam proses menyiapkan album sulungnya yang dijangka di pasaran Mei depan.
1 comment:
mcm kenal je baju nub tu...hehe~~
mknanya nanti adalah ye gamba SABUN lam stem....wah!!!
p/s:undian masih dprlukan...mari kita undi byk2 t0k SABUN....;)
~~h0ney~~
Post a Comment