zaidim@bharian.com.my

SEEKOR kumbang di sisi tiga kuntum bunga berbeza 'jenis' dan 'bau' menambat perhatian khalayak yang lalu lalang di depan Hotel Parkroyal petang Rabu lalu. Bukan saja wajah tiga kuntum bunga itu yang menawan kalbu, malah aksesori barang bertatahkan batu mutiara tajaan Rafflesia The Pearl Centre turut diperhatikan.
Khabar gembira dimaklumkan dengan bangganya bahawa premis barang kemas terkemuka ini kembali menaja Anugerah Bintang Paling Popular Berita Harian (ABPBH) 2008.
Rafflesia The Pearl Centre menawarkan aksesori barangan kemas bernilai lebih RM500,000 untuk hadiah kepada pemenang Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH 2008) yang akan berlangsung di Arena of Stars, Genting Highlands pada 12 April depan. Ini kali ketiga Rafflesia menjadi penaja ABPBH.
Majlis penyerahan replika cek itu disampaikan Pengarahnya, Winnie Sin kepada Pengarang Kumpulan Berita Harian Sdn Bhd, Datuk Manja Ismail di pejabatnya, semalam. Ia turut dihadiri Pengarang Hiburan Berita Harian, Hanizam Abdullah selain empat calon yang berjaya ke peringkat akhir ABPBH 2008 iaitu Nurul Alis atau Kiki, Dynas, Stacy dan Nubhan.
Kumbang yang dimaksudkan ialah Nubhan, calon top 5 ABPBH 2008 menerusi kategori Penyanyi Lelaki Popular dan Artis Baru Lelaki Popular. Lagaknya ibarat watak adiwira yang gagah perkasa ibarat pengawal yang menjaga keselamatan tiga kelopak bunga berharga. Bunga harum mewangi itu merujuk kepada Dynas, Nurul Alis (Kiki) dan Stacy.
Aku Stacy buka mata khalayak
SEMENTARA itu bagi juara Akademi Fantasia musim keenam, Stacy, 19, yang tercalon dalam kategori Artis Baru Wanita Popular dan Penyanyi Wanita Popular, kehadirannya kini sudah mula mendapat perhatian. Buktinya persembahan single pertamanya Aku Stacy yang dinyanyikan sewaktu pertandingan akhir Anugerah Juara Lagu (AJL) ke-23 membuka mata ramai pihak yang sedar akan bakatnya.
Atas beberapa masalah yang tak dapat dielakkan, album sulungnya yang dirancang untuk dilancarkan di negeri kelahirannya hujung minggu ini, Sabah dibatalkan. Bagaimanapun menurut penyanyi yang semakin meledak dengan lagu Gagap ini, album sulungnya yang memuatkan tujuh buah lagu sudah pun berada di pasaran sejak awal Mac lalu.
“Syukur sejak persembahan di AJL 23, biarpun tak menang, ia sebagai batu loncatan untuk saya terus menunjukkan sisi bakat seni saya. Saya juga dapat membuktikan kepada pemerhati seni termasuk peminat bahawa saya boleh menari dan menyanyi pada masa yang sama. Saya bangga menjadi nyanyian dan tarian sebagai cap dagang persembahan,” katanya yang besar kemungkinan akan mengikuti siri jelajah ABPBH 2008 ke Batu Pahat dan menggunakan khidmat pereka fesyen, Arma pada malam kemuncak nanti.
Selain Stacy yang mula menunjukkan sinar selepas menyertai program Akademi Fantasia, Nubhan juga antara yang mula menunjukkan kematangan tidak sampai setahun berada di dalam liga seni. Dicalonkan dalam dua kategori menerusi ABPBH 2008, dia ternyata gembira, terkejut dan tidak sangka mampu memboloskan diri ke senarai top 5.
“Untuk kategori Penyanyi Lelaki Popular, saya harus bersaing dengan nama besar seperti Amy Search, Aizat, Mawi dan Adam. Manakala kategori Artis Baru Lelaki Popular, Nabil, Aiman, Riz dan Fizo menjadi saingan saya. Sudah tercalon pun, ia satu ruang terbaik untuk saya terus meningkatkan prestasi kewujudan diri dalam dunia seni.
“Saya kini boleh berbangga dengan diri sendiri kerana tidak lagi menggelabah, ketakutan dan kurang keyakinan diri apabila berada di depan orang ramai. Malahan, kerana sikap itu sendiri, saya pernah dilabel sombong. Dulu mungkin saya kekok dan pemalu. Sekarang saya sudah selesa dan percaya kepada diri sendiri untuk berdepan dengan pihak media, peminat mahupun berada di atas pentas,” katanya yang akan menyarung persalinan rekaan Jovian Mandagie.

Selain lagu Gagap dan Aku Stacy, lagu lain yang dimuatkan dalam album sulung Stacy seperti Pakai Buang, Cinta Yang Ku Duga, Cerah dan Cinta Khayalan. Sering mendapatkan bantuan abangnya, Camellus Delleli Anam untuk menjadi penari latar, malah abangnya turut menjadi penari tetap untuk penyanyi Adam.
Selepas meledak dengan lagu Ada Untukmu, single kedua, Seadanya Aku pula menyusul menguatkan trek seni Nubhan. Album sulungnya dijangka berada di pasaran pada pertengahan tahun ini. Nubhan juga sudah menyatakan persetujuan untuk mengikuti siri jelajah ABPBH 2008 di Pasir Gudang, Terengganu dan Kuantan. Kini, Nubhan turut mengikuti uji bakat drama dan filem dan jika ada pihak yang ingin menawarkan watak kepadanya boleh berhubung terus dengan pengurusnya, Vernon Kedit Jolly.
Tajaan Rafflesia
Bagi kategori Bintang Paling Popular pada tahun ini, Rafflesia menaja hadiah untuk pemenang bernilai RM150,000 manakala pembaca bertuah Berita Harian, RM50,000. Selain itu, sebahagian daripada calon Top 5 ABPBH 2008, penyampai anugerah dan artis yang membuat persembahan pada malam kemuncak turut akan ditaja Rafflesia.
2 comments:
hahaa..
tepat tekaan ku..
good luck to both of you...klu x menang pun...bukan rezeki...but tingkatkan prestasi
Post a Comment