zhusni@bharian.com.my

SERING populariti dikaitkan dengan paparan kisah hangat dan kontroversi yang pantas melonjakkan nama seseorang insan seni.
Seakan membawa konotasi negatif, populariti juga acap kali dilihat sebagai ujian yang menduga sejauh mana anak seni itu mampu menangani seterusnya mempertahan kekuatan dan keperkasaan mereka untuk mara ke puncak.
Bagaimanapun, barisan nama yang sedang mekar dan mengharum dalam industri hiburan tempatan ini meniti laluan sebaliknya.
Mereka tidak bersandar kepada populariti kosong yang akhirnya memusnahkan kepercayaan khalayak kepada kemampuan sebenar.
Sebaliknya setiap mereka merasai semua nikmat itu atas usaha dan dedikasi jitu apabila mengambil keputusan untuk melangkah dalam onak serta duri dunia hiburan.
Bagi finalis Artis Baru Wanita Popular, Scha Al Yahya melihat pencalonannya dalam ABPBH 2008 sebagai penghargaan dan perakuan peminat terhadap usaha serta kerja kerasnya selama ini .
Pencalonan itu juga kata Scha, memberi makna yang cukup besar kerana selain memberi bonus untuk melonjakkan karier seninya malah turut melambangkan keakraban kolaborasinya dengan pihak media.
“Ia memberi kepuasan kepada Scha kerana bukan mudah untuk membolosi Top 5 daripada senarai panjang nama yang dicalonkan untuk kategori ini. Ia juga pencapaian terbesar sekali gus membuat Scha terharu kerana peminat menghargai dan menerima kehadiran Scha dalam bidang ini,” katanya.
Pencalonan itu juga dianggapnya sebagai kuasa ‘tendangan penalti’ kerana namanya hanya menyerlah sekitar hujung tahun lalu apabila drama bersiri, Awan Dania menerima pujian ramai.
“Pencapaian ini adalah sesuatu yang di luar dugaan kerana pada penilaian Scha, masih terlalu awal untuk Scha berada dalam senarai besar itu. Scha sangat berterima kasih kepada peminat yang melihat bakat yang ada dalam diri ini,” katanya terharu kerana filem seperti Antoo Fighter dan Histeria membantu menyerlahkan lagi namanya kepada pencinta seni.
Suatu yang cukup memberi makna kepada pelakon dan pengacara berusia 26 tahun ini, pencalonan itu juga memberinya ruang untuk berdiri di atas kaki sendiri tanpa perlu bersandar kepada populariti aktor, Fahrin Ahmad yang dikaitkan dengan dirinya.
“Scha mahu menjadi diri Scha secara individu dan alhamdulillah, semua itu tercapai menerusi pencalonan ini,” katanya.
Andai dulu, segala kemanisan sebagai anak seni popular hanya menjadi igauannya tetapi kini, jalan ke puncak sedang terbentang untuk si kecil molek, Stacy atau nama sebenarnya, Stracy Angie Anam.
Tidak ramai yang tahu sebelum segala kemanisan itu dikecapi, Stacy terlebih dulu menahan pelbagai kepahitan dan kepedihan untuk menggenggam cita-citanya.
“Saya pernah menyertai pelbagai pertandingan sampai ada yang datang bertanya, tidak malukah mahu turut serta lagi? Ada yang pernah berkata, carilah kerja lain kerana mungkin rezeki saya bukan sebagai anak seni.
“Tetapi saya cekalkan hati dan teruskan berusaha kerana kejayaan tidak akan datang bergolek di depan mata. Syukur kerana laluan untuk ke arah itu sudah mula terbuka sejak menjuarai Akademi Fantasia 7,” kata Stacy.
Mendaki tangga kejayaan sebenarnya turut membuatkan penyanyi berusia 18 tahun ini diburu kebimbangan. Stacy gusar jika melakukan kesilapan yang akhirnya memusnahkan segala kerja kerasnya selama ini.
Disebabkan itu, kata Stacy, dia sentiasa berdoa semoga Tuhan memberinya kekuatan untuk menempuh segala dugaan dan tidak lupa mereka yang berada di keliling yang membantu menjulang kariernya.
“Saya sentiasa berhati-hati dalam setiap tingkah laku, malah penghargaan demi penghargaan membuatkan saya mahu lebih berusaha untuk terus memberikan yang terbaik kepada semua.
“Pencalonan dalam ABPBH 2008 ini memberi semangat kepada saya malah mencabar diri untuk melakukan yang lebih baik. Semua ini bagaikan mimpi buat saya,” katanya.
No comments:
Post a Comment