zaidim@bharian.com.myChaq tinggalkan Bad Boyz kerana adiknya yakin potensinya dalam program Mentor musim ketiga
SEKALI imbas gambar yang dirakamkan ini tidak ubah seperti pasangan yang sedang asyik bercinta. Paling tidak pun, pasti ada yang menganggap mereka seperti sepasang kekasih yang begitu bahagia seakan dunia mereka yang punya.
Namun, sebelum andaian yang sebegitu terus menerawang fikiran, molek sekiranya diperkenalkan jejaka manis di sisi pemenang Artis Baru Wanita Popular, Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2008 itu ialah abang kandungnya bernama Chaq.
Celah Stacy atau nama sebenarnya Stracie Angie Anam yang bakal mencecah usia 19 tahun pada 18 Ogos ini, memang mereka pernah disangka dilamun cinta ketika bersiar-siar di tempat umum. Paling melucukan, ungkap Stacy ketika ditemui minggu lalu, dia pernah dikatakan kakak kepada Chaq dek kerendahan saiz tubuh badan abang tersayang.
Mereka disatukan kerana membawa gelaran anak kepada keluarga Anam. Kalau ada yang masih ingat, mereka juga adalah cebisan kumpulan Evoke yang pernah terkandas perjuangan sewaktu menyertai Gang Starz musim pertama 2007 lalu. Namun selepas, Stacy membuat keputusan mencuba nasib di pertandingan Akademi Fantasia musim keenam (AF6) dan rezeki berpihak kepadanya bergelar juara, Evoke hanya tinggal bertiga.
Di kesempatan ini juga Hip ingin mengucapkan salam takziah kepada dua beradik ini kerana baru saja kehilangan bapa saudara tersayang. Perginya dua hari sebelum konsert penentuan Mentor 3 kumpulan A, bagaimanapun, Chaq yang sudah mengesahkan posisi ke peringkat separuh akhir sempat pulang ke kampung untuk memberi penghormatan yang terakhir kepada arwah bapa saudaranya.
Seperti Stacy, Chaq atau nama sebenarnya Camelluis De’lelli Anam, 20, kini turut mengikuti jejak langkah adiknya untuk menggapai impian sebagai penyanyi solo dengan menyertai Mentor musim ketiga yang kini bersiaran di TV3. Di bawah bimbingan komposer Ajai, Chaq harus membuat keputusan terbesar di dalam hidupnya dengan meninggalkan kumpulan anak didik pertama Adam AF2, Bad Boyz.
Ekoran tindakannya itu, lalu timbul gosip kononnya, Chaq tidak mengenang jasa dan mementingkan diri sendiri. Bukan berniat mempertahankan tindakan abangnya, tetapi Stacy mempunyai alasan tersendiri menggalakkan perjuangan solo Chaq yang baru saja bermula. Malah Stacy sendiri meninggalkan Evoke untuk mencapai cita-cita.
“Stacy yang beriya-iya menasihatkan dia (Chaq) untuk mencuba nasib di Mentor 3. Laluannya direstui, cubaannya membuahkan hasil apabila berjaya menjadi protégé Ajai. Sebelum ke uji bakat lagi, dia ada memberitahu ingin mengubah keputusannya daripada menyertai pertandingan itu kerana masih sayangkan Bad Boyz.
“Namun atas galakan Stacy, mummy dan daddy, dia menunjukkan kesungguhan menunjukkan sisi bakat yang ada. Apa salahnya, dia mencuba menerap proses pembelajaran dan menimba pengalaman. Mana tahu, ke depan nanti kalau ada rezeki dan jodohnya kembali bersama Bad Boyz. Stacy sekeluarga menyokongnya daripada belakang. Pengalamannya bersama Evoke sewaktu menyertai Gang Starz boleh dijadikan sandaran untuk dia bersedia dengan sebarang kemungkinan di Mentor,” kata Stacy yang mengikat kontrak selama dua tahun bersama Astro Entertainment Sdn Bhd (AESB).
TANGGAL 26 Mei lalu genap setahun usia pembabitan gadis cilik yang semakin menunjukkan taring ketika memberikan persembahan bertenaganya di atas pentas. Malah, kehadirannya sudah mula memberi impak dan siapa sangka, penyanyi kelahiran Sabah ini pernah tercari-cari identiti sebenarnya dalam perjuangan muzik.
Namun, pertaruhannya berbaloi sejak tampil dengan album sulungnya, Aku Stacy, yang mula mendaki tangga populariti.
Akuinya, perjalanan masih jauh dan kredibilitinya mula tercalar selepas gagal memberikan persembahan sempurna sewaktu berlangsungnya Festival Filem Malaysia ke-21 di Putrajaya ketika mendendangkan lagu Wajah Suara Hati.
Mengumpul semangat daripada kesilapan lalu, Stacy mula memberikan persembahan mengagumkan ketika bolos ke peringkat akhir Anugerah Juara Lagu awal tahun lalu menerusi lagu Aku Stacy.
“Sewaktu keluar AF6, kehadiran Stacy bagaikan tidak disedari. Namun, selepas menjumpai identiti dan konsep muzik yang sesuai, Stacy sudah tahu formula yang betul, lalu inilah hasilnya. Stacy bersyukur dan sentiasa berusaha mencari kelainan. Stacy nak buktikan kewujudan ini bukan sekadar suka-suka. Alang-alang membuat sesuatu biar bersungguh dan Stacy hendak mengubah persepsi yang mengatakan produk bintang realiti itu umpama mi segera.
“Stacy selesa bergerak solo tapi menyanyi secara berkumpulan pun bagus juga. Kalau Fergie boleh menyanyi solo dan menyanyi dengan kumpulan The Black Eyed Peas, Stacy pun nak jadi sepertinya. Kalau ada peluang berduet dengan Chaq atau kembali menyatukan Evoke, Stacy takkan menolak peluang berharga itu. Harapnya, Stacy dapat mengukuhkan label nama sendiri di Malaysia dan pergi jauh, sejauh yang mungkin. Barang kali menembusi pasaran negara luar ,” katanya yang gemar melayari laman sesawang Youtube untuk meninjau klip video tarian. Malah, jika tidak berkesempatan menonton persembahan abangnya di Mentor, dia hanya menontonnya di laman terbabit.
Tidak lupa budi Adam, Bad Boyz
SEMENTARA itu, Chaq memberitahu dia masih berhubungan dengan kawannya yang menganggotai Bad Boyz. jika lapang, dia masih melepak bersama mereka termasuk dengan Adam. Biarpun kini dia sedang giat memastikan perjuangannya di Mentor 3 berhasil, dia tidak menafikan masih mengenang budi baik Adam dan kenangan bersama anggota Bad Boyz.
“Memang saya berbelah bagi dan berat hati ketika ingin membuat keputusan sama ada ingin menyertai Mentor atau kekal bersama Bad Boyz. Sebelum dapat menyertai Mentor, pelbagai emosi bermain di fikiran saya. Bayangkan ketika itu, album mini Bad Boyz hanya tinggal beberapa bulan saja sebelum dipasarkan. Tapi kerana peluang yang datang sekali, lalu saya ambil keputusan muktamad biarpun ia mengecewakan anggota Bad Boyz yang lain,” katanya yang bersaing secara sihat dengan adiknya, Stacy.
Biar masih hijau, Chaq yang bakal meningkat 21 tahun pada 26 Julai ini percaya dengan peluang keemasan yang diberi di samping kesempatan berharga menjadi anak didik, komposer Ajai. Berkat sokongan keluarga termasuk Stacy, Chaq juga menyimpan cita-cita untuk berada di tahap yang dikecapi adiknya itu.
“Saya bersyukur ciri-ciri yang Abang Ajai mahu ada pada saya. Mudah-mudahan langkah saya menyertai Mentor boleh menjejakkan kaki ke peringkat akhir. Tujuan utama saya ialah untuk membuktikan apa yang diingini Abang Ajai iaitu menyanyi dan menari dapat diseimbangkan. Selepas ini, kalau diberi peluang untuk merakamkan album saya inginkan konsep Pop R&B.
“Saya mengharap tuah bersama Abang Ajai di bawah naungan syarikatnya, Wake The Baby selepas tamat Mentor nanti. Dengan pengalaman yang dia ada, saya harap ia mampu memberi azimat bermakna buat diri sendiri. Saya harap apa yang saya hajati untuk bergelar penyanyi dan juga pelakon hebat suatu hari nanti akan dimakbulkan.
“Kejayaan Stacy menguatkan semangat saya dan kalau boleh, saya mahu capai lebih tinggi daripada apa yang dimilikinya sekarang. Kami bersaing secara sihat dan saling menyokong di antara satu sama lain. Cuma kalau boleh saya tidak mahu terus-terusan dibayangi Stacy dan biar kami berjuang dengan cara tersendiri,” katanya yang mula aktif menari sejak 2003.
INFO: Stacy
- Tidak mementingkan jenama mewah pakaian. Antara barangan jenama yang dibelinya seperti Guess, MNG dan Romp. Paling penting dan yang dititikberatkannya dalam pemilihan pakaian ialah stail yang ingin ditampilkannya. Stacy dan abangnya selalu membeli pakaian di Berjaya Times Square.
- Malah, Stacy dan abangnya memang suka bergaya dan Stacy pernah memakai baju yang dimiliki Chaq.
- Sedang mengikuti siri persembahan Gempak Selebriti Astro dan Jelajah Era.
- Idolanya, Datuk Siti Nurhaliza, Beyonce Knowles, Britney Spears, Pussy Cats Doll.
- Kata Stacy, mengikut perancangan AESB dia bakal merakamkan klip video lagu Gagap, Cerah dan Pakai Buang.
- Mendapat pengiktirafan daripada Kementerian Belia dan Sukan Sabah (KBS) sebagai ikon dan idola belia serta remaja dalam industri hiburan di Negeri di Bawah Bayu. Pengiktirafan itu dizahirkan kepadanya menerusi penganugerahan sijil penghargaan dalam bentuk plak yang diserahkan Pembantu Menteri Belia dan Sukan Sabah, Datuk Jahid Jahim kepada anak kelahiran Kampung Tuavon, Penampang Mac lalu.
Nama sebenar: Camellus De’lelli Anam
Umur: 20
Tarikh lahir: 26 Julai 1988
Pengalaman seni: Pernah menyertai Bad Boyz dan menjadi penari pengiring untuk Stacy dan Adam.
4 comments:
stacy nmpk seksi lah pose cam tu..huhu..wlpon bju x seksi..yeah! go stacy!
cutenye...
cumilnya 2 beradik ni!!!!
cutenya chaq....stacy pon ape kurangnya...vote chaq supaya dia juara..k..
Post a Comment