
Mereka adalah juara terbaru program realiti Akademi Fantasia (AF7), Hafiz; bintang sedang mencipta nama yang juga juara AF6, Stacy; penyanyi yang juga Ratu Malaysia, Soo Wincci; dan penyanyi rock wanita yang baru saja muncul dengan album pertama, Prema Yin. Masih baru dalam dunia seni, sebahagiannya belum pernah bersua muka. Namun, jelas sekali suasana tengah hari di studio Balai Berita pada 26 Ogos lalu cukup meriah apabila masing-masing bergelak ketawa dan bantu-membantu sepanjang sesi fotografi berlangsung, bagai sudah lama saling kenal-mengenali. Nyatanya, Hafiz, Stacy, Soo dan Prema cukup berbangga bergelar rakyat Malaysia dan empat artis ini menunjukkan contoh bagaimana perbezaan yang wujud antara mereka sebenarnya boleh dijadikan pelantar terbaik untuk mengukuhkan lagi perpaduan yang ada.
