Oleh FERIDE HIKMET ATAK
feride.hikmet@kosmo.com.my
HANYA kerana kesilapan yang tidak pernah dijangka, dirinya kini 'dihukum' dan kini hukuman yang tidak dipinta itu cukup dirasai Stacy selaku pendatang baru.
Mengimbas kembali kesilapannya pada malam anugerah Festival Filem Malaysia ke-21 (FFM21) 8 Ogos lepas yang memperlihatkan dirinya kurang membuat persediaan dan menyebabkan lagu Wajah Rahsia Hati yang sepatutnya dinyanyikan dengan indah, tetapi telah bertukar menjadi mimpi ngeri buat Stacy apabila dia tidak dapat mengikut rentak lagu berkenaan.
Peluang bertemu dengan pemilik nama sebenar Stracie Angie Anam ini pada majlis berbuka puasa dan rakaman program raya Ria Sentral baru-baru ini menyingkap segala yang terbuku di hati juara Akademi Fantasia musim ke-enam (AF6) ini.
"Secara jujurnya, sejak kejadian di FFM21, kerja dan publisiti saya sedikit berkurangan. Cuma sekadar persembahan-persembahan kecil dan jelajah mini konsert di Sabah sahaja.
STACY mengakui perjalanan seninya tidak semudah yang disangkakan.
"Kadang-kala saya terfikir, betapa susahnya nak membawa nama juara ke hulu hilir kerana orang hanya akan memikirkan yang saya akan mempersembahkan yang terbaik dan tak mungkin seorang juara boleh tersilap di atas pentas.
"Dan mungkin kerana saya ni beragama Kristian, membuatkan masyarakat kurang menerima saya. Biarpun menjadi begini, saya percaya ada masa untuk membuktikan yang saya boleh melakukan yang terbaik. Cuma berilah saya peluang," tuturnya berterus terang.
Pada awalnya, agak sukar untuk si gadis bersuara serak-serak basah ini berkongsi masalah yang melanda di lubuk hatinya.
Wajah ceria Stacy berubah menjadi suram sedikit tatkala penulis dan teman wartawan lain mula bertanyakan hal ini dengan lebih mendalam. Sukar untuknya menceritakan kekecewaannya, tetapi dia tegar dan menjawab satu-persatu soalan-soalan yang diberi.
Memikirkan tentang dirinya yang semakin merudum berbanding teman-temannya, Stacy perlu melakukan sesuatu. Hampir setiap hari dia membuat latihan agar tidak mengulangi kesilapannya yang lama.
Kadang-kala dia bertanya bersendirian, apa yang perlu dilakukan supaya dirinya kembali bersinar seperti pada permulaannya dia menjadi juara AF6.
"Saya takut dan sedih dengan cabaran yang besar di luar sana. Umur saya baru 18 tahun, banyak perkara yang saya tidak tahu.
"Sekarang ni, latihan nyanyian dan tarian menjadi agenda utama saya. Tetapi kalau saya berusaha pun, saya tak tahu kemana arah saya yang perlu dituju untuk menguatkan kerjaya saya sebagai seorang penyanyi.
"Apa yang saya buat cuma ikut kata orang kerana saya yakin mereka membuat yang terbaik untuk diri saya," katanya.
Cemburu dengan Riz, Nadia dan NubhanMembuat perbandingan antara diri Stacy dan teman-teman seperjuangannya seperti Nadia, Riz dan Nubhan, ternyata rakan-rakannya itu lebih menyerlah berbanding dirinya sendiri.
Timbul rasa cemburu dalam diri penyanyi berasal Sabah ini, apabila rakan-rakannya seperti telah melangkah jauh berbanding dengan dirinya.
Namun, cemburunya bukanlah cemburu berbaur negatif, tetapi Stacy menganggap ia sebagai satu persaingan sihat untuk menjadi seorang yang berjaya.
FOTO kenangan bersama penyanyi senior, Niki. "Sebenarnya, melihatkan kejayaan mereka, membuat saya cemburu, tetapi jangan salah anggap. Cemburu secara sihat kerana saya menganggapnya sebagai satu cabaran untuk diri ini terus maju.
"Lagipun saya tumpang gembira bila melihatkan rezeki mereka semakin murah.
"Cuma saya takut, orang kata bukan mudah untuk orang Sabah meraih populariti. Lihatlah Felix dan Lotter sekarang, mereka seperti sudah hilang," ujarnya.
Sedih dengan nasib sendiriDi sebalik wajahnya yang ceria, hatinya sebenarnya berkocak. Tiada keluarga rapat di sisi membuatkan Stacy tidak tahu bagaimana mahu meluahkan perasaannya yang terpendam.
"Kadang-kadang, saya teringin untuk berkongsi masalah, tak kira dari segi hal kerja ataupun peribadi. Saya mahu seseorang di sisi dan bantu untuk membangunkan kerjaya saya bersama-sama. Setakat kawan-kawan memang ramai. Tapi agak sukar untuk saya berkongsi masalah.
"Pernah juga saya menangis apabila merasai kesusahan menjadi seorang artis. Biarpun menjadi seorang juara dalam sesebuah pertandingan, belum tentu kita boleh menjadi juara dalam hal-hal lain.
"Dulu, saya ingatkan bila keluar dari AF6, semua perjalanan karier saya akan menjadi okey, tapi baru saya tahu, ia suatu perkara yang susah sebenarnya," ujarnya sambil merenung jauh.
Tambahnya, apa yang mahu ditunjukkan pada umum kini ialah menebus semula kesilapannya yang lama dan memberi persembahan terbaik kepada masyarakat di luar sana.
Menjadi penyanyi kelab semulaMenjadi seorang penyanyi, ada naik dan turunnya. Jika seseorang artis itu berada di zon selesa, belum tentu mereka akan berasa selesa selama-lamanya kerana tanpa usaha keras, seseorang artis itu boleh jatuh pada bila-bila masa tanpa isyarat.
Tentang hal itu, Stacy akui bahawa dia sudah bersiap sedia jika dirinya semakin merudum dan tidak diendahkan lagi oleh masyarakat mahupun peminatnya sendiri.
"Itu merupakan perkara yang paling saya takut. Yelah, pelbagai pengorbanan yang saya lakukan untuk sampai ke tahap ini.
"Saya pernah terfikir, jika rezeki saya tiada di dalam industri ini, saya akan pulang semula ke Sabah dan menyanyi di kelab semula. Yang penting saya ada kerja dan boleh menyara keluarga.
"Dan saya tidak kisah apa akan orang kata, yang penting saya mencari rezeki dengan cara yang betul. Tetapi kalau boleh, selagi saya masih boleh bertahan di dalam industri saya akan kekal di sini. Saya cuma perlukan sokongan daripada peminat-peminat saya untuk terus melebarkan sayap untuk menjadi seorang penyanyi yang disegani," luahnya.
Rancangan dan impian masa depanDitanya pula mengenai impian dan rancangan masa depannya, macam-macam perkara yang diperkatakan Stacy.
INILAH persembahan Stacy pada FFM21 yang dikritik hebat. Cuma dia tidak tahu, yang mana perlu didahulukannya. Apa yang penting, permulaan impiannya bermula dengan lesen kereta.
"Nak ikutkan hati, macam-macam benda saya nak buat. Saya mahu membawa teman-teman dari Sabah untuk menari bersama saya.
"Bila mereka ada, kami boleh mencipta tarian sendiri dan membuat latihan bersama untuk memantapkan tarian ketika berada di atas pentas nanti.
"Kemudian, seperti umum tahu, saya mahu mengambil Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan juga perlu menghadiri kelas Bahasa Melayu supaya saya lebih fasih. Apa-apa hal, lesen mesti ada dulu," tuturnya.
Tambah Stacy, cuma dia keliru adakah wajar untuk dia belajar Bahasa Melayu kerana keluarga dan rakan-rakan di Sabah seperti kurang gemar jika dia mempelajari bahasa kebangsaan itu.
"Bila saya balik Sabah, mereka kata jangan ubah bahasa saya. Mereka rasa seronok bila saya bercakap menggunakan loghat kami," katanya.
Bila bercerita mengenai impiannya, barulah wajah Stacy kembali bersinar. Semangatnya begitu kental. Sungguhpun dirinya keliru dengan apa yang perlu dilakukannya semangat untuk menjadi penyanyi yang disegani tidak pernah luruh.
"Impian saya ialah menjadi penyanyi yang berjaya. Saya mahu mantapkan tarian dan vokal. Sekurang-kurangnya, bila orang ramai melihat saya membuat persembahan di pentas, mereka akan terpegun," akhirinya.