Teks oleh Razif Rosdi
KUALA LUMPUR, 20 DIS 2010: Selain sibuk memberikan fokus serta tumpuan terhadap album solo pertamanya berjudul Langkah Nubhan, pemenang tempat ketiga Akademi Fantasia 6 (AF6), Ahmad Nubhan Ahamad atau Nubhan juga semakin hari dilihat semakin aktif menjadi pengacara bagi program Intrend di RTM bersama pelakon dan penyanyi, Mimie Haris.
Keserasian Nubhan bersama Mimie dikatakan sangat intim sehingga mereka dikhabarkan sedang menjalin ikatan cinta. Pun begitu, Nubhan menafikan dakwaan tersebut serta lebih menyifatkan bahawa hubungannya bersama Mimie hanyalah sekadar adik dan abang saja.
"Kami hanya intim di depan kamera saja. Di belakang kamera, kami hanya kawan dan tak lebih dari itu. Lagi pun, dia terlalu muda. Perangai Mimi pun macam adik saya saja," ujarnya kepada murai.com.my.
Dalam pada itu, Nubhan tidak menafikan bahawa dia tetap akan meneruskan kerjaya sebagai pengacara walaupun baru saja melancarkan album solonya yang selama ini dinanti-natikan sejak 3 tahun yang lalu.
"Selagi ada permintaan, saya masih lagi akan menjadi pengacara bagi program itu. Apa salahnya kalau saya buat perkara yang orang dah suka. Saya pun suka sangat jadi pengacara. Enjoy sangat.
"Mimie pun menambahkan keceriaan saya dalam mengacara. Kami memang ada chemistry sebagai hos. Selalunya dia akan menenangkan saya kalau saya stress. Disebabkan kami serasi, sebab itulah saya syok bekerja dengan Mimie," kata Nubhan lagi.
Siapa idola Nubhan dalam bidang pengacaraan TV?
"Saya tidak mempunyai ikon yang khusus dalam bidang pengacaraan. Saya memang ada idola hos. Namun, sebenarnya saya sendiri tidak menyangka yang saya boleh jadi pengacara TV. Saya suka buat sesuatu perkara yang baru. Namun, sedikit sebanyak saya ada cuba mendapatkan idea dari pengacara yang sedia ada.
"Lagipun, saya bukanlah 100% nak terus jadi pengacara TV. Namun, saya juga bukan nak jadi pengacara secara suka-suka. Sebaliknya, ini adalah satu cara untuk saya nak berdikari dalam industri seni tempatan. Yang penting, saya tidaklah mahu rasa takut bila nak dibandingkan dengan pengacara yang ada.
"Saya bangga dengan pencapaian pengacara tempatan. Saya ni pun bukannya bagus sangat. Saya pun main buat saja. Kadang-kadang okay dan kadang-kadang tak okay, " jelas Nubhan.
Sementara itu, sebelum ini Nubhan pernah dilaporkan mempunyai penyakit pada bahagian tulang belakang iaitu slip disc. Bagaimana dengan sakit yang dihidapinya itu?
"Saya masih lagi sakit. Namun, sakit itu sudah pun semakin berkurangan. Sakit ini jenis datang-datang. Selain makan ubat yang diberikan doktor, saya juga ada buat rawatan secara tradisional.
"Setakat ini, sakit ini tidak mengganggu saya. Hanya ada ketika saja ia akan menyerang. Kalau saya demam, sakit ini akan datang menyerang saya. Ini adalah penyakit yang kekal. Namun, syukurlah saya masih lagi boleh aktif.
"Saya takut nak buat pembedahan. Takut nanti kalau pembedahan tak berjaya, saya boleh lumpuh. Sekarang ini pun saya masih lagi ambil suntikan untuk hilangkan sakit. Suntikan ini hanya akan mampu bertahan untuk tempoh selama 5 tahun. Adakala, saya juga ada memakai bengkung," jelas Nubhan mengakhiri perbualan.
credit to Murai