Pemenang tempat ketiga Akademi Fantasia 6 (AF6), Ahmad Nubhan Ahamad atau Nubhan kini boleh menarik nafas lega apabila penantiannya untuk melahirkan album solo telah berakhir. Bermula pertengahan Oktober lalu peminat Nubhan sudah boleh membeli album solo pertama penyanyi ini di pasaran.
Menggunakan judul ‘Langkah Nubhan’, album ini memuatkan tujuh buah lagu yang menampilkan beberapa komposer ternama tanahair seperti Tam Spider, Audi Mok, Sharon Paul, dan tidak ketinggalan kumpulan 6ixth Sense yang baru mencuba mencipta lagu untuk penyanyi lain.
Mengulas tentang album pertamanya itu, penyanyi yang popular dengan lagu ‘Oh! Juwita’ ini memberitahu dia berasa cukup puas hati dengan album pertamanya itu walaupun ramai yang tertanya-tanya mengapa dia mengambil masa yang terlalu lama untuk hadir dengan album.
“Saya mengambil masa lebih tiga tahun untuk album ini kerana saya mahu pastikan semua lagu yang dimuatkan dalam album ini bagus. Proses pemilihan lagu untuk album ini memang ketat. Saya dan pihak pengurusan perlu memilih tujuh buah lagu daripada 45 buah lagu yang ada.
Selain itu, peralihan pengurusan baru Artistes United Record Sdn Bhd juga membuatkan proses penerbitan album ini terganggu seketika. Tetapi, saya tidaklah senyap terus. Saya muncul dengan beberapa single untuk pastikan peminat tidak lupakan saya, ”ujar Nubhan ketika ditemui oleh pihak media selepas majlis pelancaran albumnya di Borneo Barok Club, Jalan Kia Peng, Kuala Lumpur, kelmarin.
Menceritakan tentang judul albumnya itu, Nubhan memberitahu judul itu membawa makna bahawa dia kini sudah semakin yakin untuk terus melangkah dalam bidang nyanyian. Baginya inilah permulaan untuknya mengorak langkah yang lebih teratur dan pantas demi masa depannya dalam bidang nyanyian.
Dalam masa yang sama, Nubhan juga sempat mengulas dakwaan yang mengatakan dia seorang penyanyi yang tidak mempunyai identiti muzik sendiri. Dakwaan ini timbul kerana dia menyanyikan lagu ciptaan kumpulan 6ixth Sense dan Spider.
“Sebenarnya saya rasa sangat bertuah kerana mendapat lagu daripada komposer yang bagus-bagus. Kalau peminat kata saya tidak punya identiti sendiri saya rasa sukar untuk menjelaskannya. Yang pasti, saya sudah menyanyikan lagu itu dengan cara saya sendiri. Tidak meniru 6ixth Sense mahupun Spider. Jadi, terpulanglah kepada peminat untuk menilai. Kalau hendak harapkan saya buat lagu sendiri, memang tidaklah. Saya bukan pandai bermain alat muzik,” jelas Nubhan lagi.
Pembikinan album Nubhan bermula sejak pertengahan tahun 2009. Selepas single ‘Seadanya Aku’, Nubhan mula merakamkan lagu satu persatu sehingga pihak Artistes United Record yakin dengan pemilihan lagu-lagu yang telah dirakamkan.
Lagu-lagu yang terkandung dalam album ini adalah berunsur pop bebas yang boleh dinikmati oleh semua peringkat umur. Nubhan mencuba kelainan apabila turut mempertaruhkan sebuah lagu berbahasa Mandarin yang berjudul ‘Ai Mei Chuo’ yang dialih bahasa daripada lagu ‘Diredup Matamu’ hasil ciptaan Tam Spider.
Bagi mempromosikan album pertamanya itu, Nubhan akan terlibat dengan banyak persembahan di pusat-pusat membeli-belah seluruh negara. Sabtu ini (4 Disember) dia akan muncul di Batu Pahat Mall sebelum beraksi di Kem Tentera Mersing pada sebelah malamnya.
Credit : Gua.com
No comments:
Post a Comment