ALHAMDULILLAH dan syukur, ungkapan yang tidak pernah lekang meniti di bibirnya sekali gus membayangkan betapa Nubhan yang dilahirkan dengan nama, Ahmad Nubhan Ahamad, 24, ketika ini cukup lega.
Tentu sekali dia berhak merasakan perasaan itu. Apatah lagi, selepas tiga tahun menanti, impiannya untuk melihat album sulung dilancarkan terlaksana, kelmarin di Borneo Barok Club, Jalan Kia Peng.
Langkah Nubhan menterjemahkan perjalanan seninya yang diharap lebih lancar dan teratur.
"Album ini saja judulnya Langkah Nubhan. Tiga tahun orang nampak Nubhan tanpa sebarang produk, tentu saja saya mengharapkan kehadiran album ini dapat membantu merencana kerjaya seni yang lebih baik dan kalau boleh membawa nama saya ke satu peringkat yang lebih tinggi.
"Selain itu, saya juga berharap Langkah Nubhan ini akan meleraikan penantian peminat yang sudah lama tertunggu-tunggu kemunculan album sulung saya," katanya.
Pernah berasa terkapai-kapai apabila pihak pengurusan lamanya mengundurkan diri, namun Nubhan sedar dirinya masih bertuah kerana syarikat yang dinaunginya, Artistes United Record Sdn Bhd (AUR), tidak pernah mengabaikannya.
"Tiga tahun banyak benda yang saya belajar. Saya menimba pengalaman bagaimana proses pembikinan album dilakukan.
"Ternyata ia bukan satu proses yang mudah. Pun begitu, saya yakin pihak pengurusan saya sudah memutuskan yang terbaik untuk album ini.
"Berhubung penantian selama tiga tahun, terus terang saya seorang yang tidak mudah menyerah kalah, malah percaya setiap insan pasti ada dugaan dalam hidupnya.
"Langsung tak terfikir untuk mengundurkan diri melainkan ternyata-tanya bila agaknya album saya akan keluar, itu saja. Kelewatan disebabkan mencari material, selain pengurusan baru. Justeru, banyak perkara perlu dirangka dan diatur semula.
"Semua proses ini memakan masa yang lama. Pun begitu, syukur Alhamdulillah akhirnya album dapat juga dilancarkan," katanya.
Ingin rasa hati untuk mempertaruhkan lagu sendiri sebagaimana dilakukan bintang AF yang lain seperti Aizat, namun Nubhan hanya mahu melaksanakan impian itu di dalam album seterusnya kerana untuk album pertama, dia menganggap satu proses pembelajaran.
Diperkenalkan menerusi program Akademi Fantasia 6, Nubhan dilamar Ning Baizura untuk bernaung di bawah syarikat AUR kerana Ning tertarik dengan vokal Nubhan yang mempunyai ciri istimewa.
Ada Untuk Mu menjadi single pertama Nubhan yang dikeluarkan Maestro Records dan dengan single itu, bakat pemuda kelahiran Kuala Pilah, Negeri Sembilan ini lebih terserlah.
Selepas popular dengan Ada Untuk Mu, AUR mengeluarkan pula single kedua Nubhan, Seadanya Aku yang menampilkan Sharon Paul sebagai komposer.
Pembikinan album ini bermula sejak pertengahan 2009. Selepas single Seadanya Aku, Nubhan mula merakamkan lagu satu persatu sehingga pihak AUR yakin dengan pemilihan lagu-lagu yang dirakamkan.
Mengandungi tujuh lagu, komposer yang terbabit antaranya Adi 6ixth Sense yang menyumbangkan dua buah lagu iaitu Oh Juwita termasuk Aku Atau Dia. Audi Mok pula menyumbangkan sebuah lagu berjudul Mata Hati dan Seadanya Aku oleh Sharon Paul.
Album berkonsep 'free pop' ini turut menampilkan Tam Spider yang mempertaruhkan Beri Rasa Beri Rahsia dan Diredup Matamu. Diredup Matamu turut dirakamkan dalam bahasa Mandarin dan menggunakan judul Ai Mei Cuo. Liriknya ditulis Yap Kang Heng.
Bagi peminat yang belum mengetahui latar belakang Nubhan, pemuda ini pernah mendapat pendidikan di sekolah Cina dan boleh berbahasa Cina dengan baik.
Pengurus Artis (A&R) AUR, Mohd Pauzi Abd Samad berkata, merakamkan sebuah lagu berbahasa Cina salah satu strategi syarikat rakaman.
"Nubhan mempunyai kelebihan boleh bertutur bahasa Cina dengan lancar. Kami tidak mahu mensia-siakan kelebihan yang ada padanya. Mana tahu, bertitik-tolak daripada percubaan ini dapat memasuki pasaran bukan Melayu. "Jika ia berjaya dan mendapat sambutan di kalangan masyarakat Cina, kami juga merancang menerbitkan album Langkah Nubhan ini dalam bahasa Mandarin," katanya sambil diperhatikan Nubhan, Ning Baizura serta Pengarah Urusan AUR, Michael Ang.
Credit : Harian Metro
No comments:
Post a Comment