Oleh Nurulhisham Abdul Latiff
nurul@bharian.com.m
SEJAM sebelum pintu Sri Pentas 2 di Plaza Alam Sentral dibuka, kelihatan begitu ramai sekali peminat berbaris panjang di luar studio yang terletak di aras lima kompleks beli-belah di Shah Alam. Mereka menunggu dengan sabar untuk sama-sama memeriahkan acara siaran langsung peringkat separuh akhir kedua Muzik Muzik 24 yang berlangsung pada 13 November lalu.
Sebaik saja pintu dibuka, peminat terus memenuhkan setiap ruang yang ada di studio terbabit. Daripada kerusi di depan pentas sehinggalah ke bahagian belakang, segenap sudut diisi penonton. Sekali pandang, jika diukur kepada kedatangan orang ramai, acara malam itu umpama sebuah pertandingan akhir bagi sesuatu program.
Penangan kemunculan kelab peminat yang tumbuh bagai cendawan selepas hujan, sebaik saja wujudnya program realiti itu, nampaknya turut memberikan kesan besar kepada kehangatan minggu kedua peringkat separuh akhir Muzik Muzik.
Ia memang berbeza pada minggu pertama peringkat yang sama, tidak sampai separuh pun penonton yang hadir menyokong artis kesukaan mereka. Tetapi, apabila saja ada artis AF yang bertanding, peminat setia mereka tidak ketinggalan memeriahkan program. Lebih-lebih lagi apabila hampir 70 peratus penyanyi yang bersaing pada malam berkenaan adalah bekas pelajar rancangan realiti yang popular itu.
Artis lain yang turut bersaing ialah Jinbara dengan lagu Joget Tak Tau Joget (Anak Jin/Anak Jin & Palut), 6ixth Sense dengan Khatimah Cinta (6ixth Sense), Black dengan Aku Rindu Sayang Kamu (Yuzai) dan Grey Sky Morning dengan Cinta Gila (Sharnizad & Hafizal / Hafizal).
Langkah TV3 membuka peluang kepada semua artis, tidak kira dari mana munculnya mereka, memberikan kesan positif kepada kesinambungan karier artis baru, termasuk daripada AF.
Apatah lagi apabila ramai sudah maklum, kemunculan di pentas Anugerah Juara Lagu (AJL) mampu meletakkan seseorang artis satu anak tangga lebih tinggi dalam dunia seni tanah air. Persembahan yang baik pada acara akhir itu nanti bakal meninggalkan kesan mendalam kepada jutaan peminat serta pemerhati seni, sebagaimana dilakukan Stacy pada edisi sebelum ini.
No comments:
Post a Comment